
Anwar tegaskan tidak akan mengalah bersihkan negara daripada ketirisan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan mengalah dalam usaha membanteras ketirisan dana awam dan amalan rasuah selagi diberikan mandat untuk menerajui negara.
Beliau berkata, kelemahan pengurusan menyebabkan banyak projek pembangunan terbengkalai, sekali gus mengakibatkan pembaziran wang rakyat apabila kos tambahan diperlukan untuk menyiapkan projek berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu perlu dijadikan pengajaran supaya setiap projek kerajaan dilaksanakan dengan pengurusan yang cekap, telus dan berintegriti.
“Banyak projek-projek kadang-kadang terbengkalai. Sekolah yang pada kos RM40 juta jadi RM80 juta, dan kemudian banyak pula terbengkalai.
“Bila dah terbengkalai, minta arahan perubahan kerja untuk tambah lagi kos. Pengalaman ini harus mengajar kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Residensi Siswa MADANI di Universiti Malaya di sini hari ini.
Anwar berkata, universiti berkenaan perlu memastikan projek kediaman mahasiswa itu dilaksanakan dengan baik dan menjadi contoh kepada agensi lain dalam menguruskan projek pembangunan.
Menurutnya, setiap projek perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi tanpa sebarang amalan rasuah, selain memastikan dana yang diperuntukkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap laporan mengenai kehilangan dana dan ketirisan yang melibatkan jumlah besar.
“Lemasnya saya dengar, asyik ada projek hilang sana-sini. Rugi sana-sini, berbilion-bilion ringgit.
“Walaupun memang ramai yang tidak suka saya bicara soal ini, tapi saya tidak akan mengalah. Selagi saya diberi mandat ini, tugas saya nak bersihkan negara ini daripada amalan ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








