Hakisan Sungai Rajang: PM luluskan RM2 juta bagi kerja pengukuhan tebing
KAPIT – Bagi mengelak implikasi lebih buruk, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan RM2 juta untuk projek menghalang hakisan Sungai Rajang, di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah pencegahan perlu diambil dengan kadar segera bagi memastikan ia tidak menelan belanja yang terlalu tinggi.
“Saya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta untuk kerja-kerja pengukuhan tebing bagi mengatasi masalah hakisan Sungai Rejang di Rumah Panjang Robert, Nanga Sebatu, Kapit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook semalam selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Bahagian Kapit di Rumah Panjang Robert.
Perdana Menteri berkata, masyarakat dari pelbagai kaum, suku dan budaya di Malaysia perlu berperanan lebih dalam memastikan kerukunan negara ini terus kukuh.
“Usah kita terperangkap dalam sentimen yang memecahkan kesatuan kita, baik mempersenjata atau menajamkan sentimen kaum, agama, wilayah dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa negara kita mula menampakkan hasil dari segi ekonomi, berkat kestabilan yang wujud.
“Justeru itu, teruskan bekerja dan paculkan sikap kasih antara satu dengan yang lain,” ujar Perdana Menteri lagi.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Kerajaan Negeri Sarawak serta semua pemimpin masyarakat dan rakyat Bahagian Kapit di atas sambutan yang amat bermakna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















