BERITA SEMASAPMX

Anwar bangkitkan isu MH17 dalam pertemuan dengan Putin

MOSCOW – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terus membangkitkan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 dalam pertemuannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Dalam satu video yang dikongsikan di Facebook beliau, Perdana Menteri memaklumkan perkara itu disuarakan dalam pertemuan dua hala mereka di Kremlin hari ini.

“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya.

Menurut Anwar, Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Dia (Putin) telah melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga dan katanya dia telah menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dan mahu perkara ini tidak dipolitikan.

Selain itu, Anwar berkata, Russia memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan bahawa Russia sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa.

“Saya maklumkan ini adalah laporan yang dibuat oleh ICAO dan katanya dia telah dari awal memohon supaya kajian itu harus bebas dan teliti,” katanya.

“Pihak Russia juga sedia untuk berikan kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa dan dia tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana badan yang dianggap tidak bebas,” kata Anwar.

Terdahulu, ICAO, sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memutuskan bahawa Russia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Menurut laporan itu, ICAO akan mempertimbang bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada November 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Russia dan seorang lelaki warga Ukraine secara ‘in absentia’ dengan kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.

Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button