BERITA SEMASAPMX

‘Jika tak mampu, beri laluan kepada orang lain’ – PM beri tempoh seminggu kepada ketua jabatan, agensi penguat kuasa buat keputusan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh seminggu kepada ketua-ketua jabatan dan agensi penguat kuasa untuk menilai keupayaan masing-masing dalam memikul amanah, sambil menegaskan bahawa mereka yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan tegas dan berintegriti perlu memberi laluan kepada individu lain yang lebih bersedia.

Perkara itu ditegaskan beliau dalam ucapan sempena Majlis Amanat Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Menurut Anwar, ruang kelemahan dalam penguatkuasaan termasuk isu penyeludupan, pencerobohan dan kegiatan gelap tidak boleh lagi dibiarkan berterusan, apatah lagi jika ia berlaku dengan toleransi atau kelompongan daripada badan penguat kuasa sendiri.

Beliau berkata, sekiranya terdapat pegawai yang merasakan diri mereka tidak mampu memikul cabaran, tekanan atau godaan dalam melaksanakan tugas, perkara itu perlu dimaklumkan segera.

“Kalau saudara diamanahkan dan rasanya kurang mampu melaksanakan kerana cabaran terlalu besar, ujian berat dan tarikan terlalu menarik, saya syorkan dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua atau saya sendiri, kepada menteri atau peguam negara.

“Beritahu kita belum bersedia untuk mengambil langkah berani dan oleh itu, beri laluan kepada orang lain. Satu minggu,” tegas beliau.

Perdana Menteri menekankan bahawa negara tidak boleh terus membiarkan penyeludupan, rasuah, jenayah terancang dan kegiatan gelap berlaku secara terbuka tanpa tindakan tegas.

“Bagaimana boleh negara ini izinkan penyeludupan terang-terangan? Apa kita ini buta, tidak dapat melihat bolosnya sempadan?” soal beliau.

Anwar turut menyeru semua agensi untuk bertindak sebagai satu pasukan dan tidak lagi mengambil sikap sambil lewa terhadap isu keselamatan, integriti dan jenayah kewangan.

Menurutnya, jawatan tinggi serta pangkat yang disandang bukan sekadar simbol penghormatan, sebaliknya amanah yang menuntut keberanian membuat keputusan dan tindakan tegas demi kepentingan negara.

“Saya menyeru rakan-rakan untuk segera bertindak. Mulai detik ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button