BERITA SEMASA

Isu pampasan tanah Kem Syed Sirajuddin selesai – Anwar

NILAI – Bayaran pampasan tanah bagi Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan yang tertangguh lebih sedekad akhirnya selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan untuk menyelesaikan isu yang tertangguh sekian lama itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, ada berita baik untuk Negeri Sembilan. Ada masalah berpanjangan, bertahun-tahun antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mengenai bayaran pampasan tanah di Gemas, berpuluh tahun dah.

“Kerajaan MADANI semalam putuskan mesti selesai. Mana patut bayar, bayar balik kepada Negeri Sembilan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat di Dataran Nilai, hari ini.

Related Articles

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar kemudian secara berseloroh meminta supaya kerajaan Negeri Sembilan memberi potongan kepada jumlah yang akan dikenakan terhadap kerajaan Persekutuan.

Laporan media sebelum ini menyebut, Kerajaan Negeri Sembilan bersedia menawarkan opsyen kepada kerajaan Persekutuan bagi melunaskan bayaran premium pemberi milikan tanah kerajaan secara hak milik tetap di kem tentera itu secara ansuran.

Ketika itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri berhadapan isu bersama Kementerian Pertahanan berhubung bayaran tanah untuk Pusat Latihan Gabungan Pasukan Tempur di kem berkenaan dengan nilai premium asal sebanyak RM2.16 bilion sejak 2014.

Isu membabitkan kawasan seluas 6,653 hektar itu membabitkan tiga lot tanah iaitu Parcel H, Parcel J dan Parcel L.

Bagaimanapun kata Aminuddin, selepas perbincangan pada Jun 2022, kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengeluarkan kawasan Military Firing Ground J yang diwartakan sebagai kawasan Military Firing Ground sejak 1941 dan berkeluasan 2,737.55 hektar.

Pengecualian itu berhasil mengurangkan kadar premium perlu dibayar kerajaan Persekutuan kepada RM1.27 bilion sahaja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button