Kerajaan setuju tubuh Majlis Penasihat Aset Digital dan AI, pacu ekonomi digital negara
KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai langkah strategik bagi memacu negara menjadi peneraju dalam ekonomi digital di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis penasihat itu akan berperanan penting dalam membantu negara menguasai teknologi baharu, terutamanya dalam bidang aset digital dan AI yang kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dunia dan daya saing negara.
“Ketika mempengerusikan mesyuarat pertama majlis ini, antara perkara yang dibincangkan ialah potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blockchain dan aset digital, termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Perdana Menteri, antara fokus utama majlis tersebut ialah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, AI, analitik data raya dan pengkomputeran awan dalam memperkasa sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kemajuan teknologi itu mampu memacu inovasi dalam struktur pasaran, mempercepatkan transaksi serta memperkukuh ketelusan dan pematuhan.
Beliau juga mengalu-alukan kerjasama berterusan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam merangka dasar pembangunan teknologi yang bertanggungjawab dan progresif.
“Dengan kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, Malaysia bersedia muncul sebagai peneraju dalam ekonomi digital global,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








