BERITA SEMASA

Kerajaan kekal pertahan asas pendidikan pondok, tambah baik dengan teknologi – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengubah struktur asas pendidikan pondok yang telah terbukti memainkan peranan besar dalam mempertahankan akidah umat Islam di negara ini sejak ratusan tahun lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, usaha kerajaan untuk memperkasa institusi tersebut adalah dari sudut fasiliti, prasarana dan akses kepada teknologi termasuk pendigitalan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI), agar terus relevan dengan cabaran zaman moden.

“Sekolah pondok akan dipulihkan dengan penambahan teknologi maklumat, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), namun tetap mengekalkan kitab-kitab asal dan pendekatan dakwah mereka.

“Kerajaan tidak akan mengubah struktur asas pendidikan pondok, sebaliknya hanya memperkasa dari sudut fasiliti dan akses teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Menurut beliau, usaha tersebut merupakan antara inti pati pertemuannya bersama golongan ulama pondok baru-baru ini, yang turut menekankan kepentingan mengangkat kembali martabat institusi pendidikan tradisional Islam di negara ini.

“Ketika zaman penjajahan, sistem politik, kepimpinan dan ekonomi kita diubah mengikut acuan Barat. Sistem pendidikan juga turut dirombak, bahasa asing diagungkan manakala bahasa kebangsaan terpinggir.
“Namun, pondok dan pesantren tetap utuh memainkan peranan mempertahan akidah dan jati diri ummah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengumumkan peluncuran Mushaf Ummah di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, pada Jumaat ini iaitu inisiatif dakwah global sebagai respons terhadap insiden pembakaran al-Quran di luar negara termasuk di Sweden.

“Ketika ada pihak di luar negara seperti di Sweden cuba membakar al-Quran, kita akan menjawab secara berhemah dengan menerbitkan satu juta naskhah al-Quran, diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Perancis, Jerman, Tagalog dan Hebrew,” ujarnya.

Katanya, naskhah tersebut akan diedarkan ke seluruh dunia termasuk sekolah dan universiti di Sweden sebagai langkah balas dakwah secara intelektual dan beradab.

“Satu al-Quran dibakar, kita akan kirim beribu-ribu naskhah ke sana. Ini pendekatan dakwah yang terbaik dan penuh hikmah,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button