AGAMABERITA SEMASA

Wakaf Media jadi pemangkin baharu dakwah Islam hasil kerjasama strategik TV AlHijrah-YWM

PUTRAJAYA – Pelancaran Wakaf Media oleh TV AlHijrah dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) hari ini membuka lembaran baharu dalam usaha mendanai agenda media Islam secara berstruktur dan mampan bagi memberi pencerahan kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah bersejarah yang memperlihatkan kerjasama berpasukan antara agensi hal ehwal agama bagi memperkukuhkan agenda dakwah melalui platform media.

“Alhamdulillah hari ini kita menyaksikan satu sejarah baharu apabila TV AlHijrah bersama Yayasan Waqaf Malaysia melancarkan satu instrumen wakaf iaitu Wakaf Media.

“Ini adalah satu usaha yang sangat baik untuk mendanai agenda media Islam yang kita hasratkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Wakaf Media berkenaan di sini hari ini.

@malaysiatribune

Pelancaran Wakaf Media hasil kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan TV AlHijrah hari ini membuka lembaran baharu dalam usaha mendanai agenda media Islam secara berstruktur dan mampan bagi memberi pencerahan kepada masyarakat. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli; Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

wakaf
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Dalam majlis sama, Namanzee Harris berkata, cabaran besar industri media, khususnya media Islam dalam persaingan dengan platform digital dan kandungan bukan konvensional, menjadi faktor utama tercetusnya idea pelaksanaan Wakaf Media oleh TV AlHijrah.

Beliau berkata, konsep wakaf bukan sesuatu yang baharu dalam Islam, sebaliknya telah diamalkan sejak beribu tahun lalu sebagai satu kaedah sinergi antara pewakaf dan pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan hasrat wakaf tersebut.

“Apabila kita melaksanakan program-program sedekah bersama masjid dan yayasan, kita sedar masyarakat Islam di Malaysia, khususnya penonton TV AlHijrah, sangat gemar berwakaf sama ada dalam bentuk harta atau tunai,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, TV AlHijrah dengan sokongan YWM telah merangka pelaksanaan Wakaf Media secara berfasa, iaitu fasa pertama memberi tumpuan kepada pendanaan program Quran@114 dan Hadis@114.

Katanya, ia diikuti fasa kedua melibatkan pembangunan infrastruktur, manakala fasa ketiga merangkumi pembangunan bangunan dan kemudahan berkaitan.

“Pendekatan ini menjadi petunjuk baharu bagaimana agensi hal ehwal agama boleh bekerjasama secara kolektif untuk menyokong TV AlHijrah, sekali gus memperkukuh perancangan dan pelaksanaan agenda dakwah secara lebih tersusun.

“Ini juga menjadi satu contoh dan model bagaimana kita membantu industri, khususnya dalam konteks sektor Melayu, untuk mencari sumber alternatif selain sumber tradisional yang sedia ada,” jelasnya.

Baca juga : PM umum RM30 juta untuk MyWakafPTPTN, RM5 juta bagi permodalan wakaf nasional

Mengulas mengenai penyertaan masyarakat, Dr Zulkifli berkata, skim potongan gaji untuk wakaf telah lama dipromosikan oleh YWM dan mendapat sambutan dalam kalangan penjawat awam, namun peratusannya masih kecil.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua penjawat awam serta orang ramai untuk menyertai skim potongan gaji wakaf yang disediakan, selain memaklumkan bahawa instrumen wakaf sedia ada memudahkan orang ramai untuk berwakaf.

“Keistimewaan wakaf ini ialah ia kekal sampai bila-bila dan mungkin inilah antara pelaburan terbaik apabila kita meninggalkan dunia ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan pelaksanaan Wakaf Media akan dibuat secara telus dengan memastikan masyarakat dapat melihat sendiri projek-projek yang dibiayai hasil sumbangan wakaf.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, penyertaan wakaf tidak terhad kepada penjawat awam semata-mata, sebaliknya terbuka kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor korporat lain.

“Yayasan Wakaf Malaysia merupakan sebuah agensi yang telus, menerima pelbagai anugerah dan mempunyai pengurusan kewangan yang diyakini,” ujarnya.

Pelancaran Wakaf Media ini, katanya, bertujuan untuk diwar-warkan kepada lebih ramai pihak agar budaya wakaf dapat diperkasakan dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang kita mahu ialah mewujudkan budaya wakaf dalam masyarakat, bukan sekadar melibatkan segelintir individu, tetapi menjadi satu minda dan budaya hidup umat Islam,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button