ON THE WAY Persiapan Menuju Kematian: Panduan meraih husnul khatimah
KEMATIAN adalah hakikat yang tidak dapat dielakkan oleh setiap makhluk yang bernyawa. Ia bukan sekadar penamat sebuah kehidupan duniawi, tetapi juga permulaan kepada perjalanan di negeri abadi.
Walau sejauh mana manusia berlarian, sehebat mana kuasa di tangan dan sebanyak mana harta dikumpulkan, maut tetap datang menjemput tepat pada waktu yang dijanjikan Tuhan.

Namun, yang lebih utama bukanlah bila atau bagaimana seseorang itu menemui ajalnya, tetapi bagaimana ia mempersiapkan diri menghadapi saat yang pasti tiba.
Kematian seharusnya menjadi cerminan untuk menilai kehidupan iaitu adakah kita sudah bersedia untuk bertemu Allah dalam keadaan yang diredhai-Nya?
Inilah yang cuba ditampilkan penulis prolifik tanah air, Bonda Nor melalui buku terbaharu berjudul ON THE WAY Persiapan Menuju Kematian.
Buku tersebut bukan sekadar bacaan biasa, bahkan sebuah renungan mendalam yang mengajak insan merenungi hakikat kehidupan dan kematian yang pasti datang.

Rasulullah SAW bersabda: “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempersiapkan persediaan yang baik buat kehidupan selepasnya. Itulah orang yang bijaksana (cerdik).”
“Kita semua tentu saja mahu menjadi manusia yang paling baik dan paling cerdik itu. Kita mahu selalu mengingati mati sebagai satu perisai diri agar tidak hanyut dengan mehnah dunia ini.
“Namun, pelbagai rencah kehidupan sering melalaikan. Kadang, kita tenggelam dalam pelbagai urusan keduniaan yang tak berkesudahan.
“Justeru, kita perlu sama-sama akui betapa pentingnya hadir peringatan demi peringatan berkenaan kematian.

Menerusi naskah ON THE WAY Persiapan Menuju Kematian ini, kami mempamerkan cantuman pelbagai kisah manusia yang boleh membawa kita kepada hala tuju kehidupan yang sebenarnya,” kata Bonda Nor kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, buku itu membawakan kisah-kisah benar yang boleh menjadi inspirasi untuk pembaca pula membina trek kematian mereka sendiri.
“Mahu kematian yang bagaimana? Ia tidak boleh ditentukan, tapi boleh dibentuk dan didoakan.
“Misalnya, dalam satu hadis riwayat Ahmad dan Bukhari, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk berdoa, ‘Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan Muslim, hidupkanlah kami dalam keadaan Muslim dan susulkan kami dengan orang-orang yang soleh, tidak dalam keadaan hina dan tidak dalam keadaan terfitnah.’

“Jujur, saya menekuni suntingan pelbagai karya dalam buku ini dengan sepenuh daya, namun bersulamkan air mata. Pada sesetengah bab, fokus saya terhenti dek kerana gagal meredakan gelora hati sendiri.
“Hakikatnya, ada terlalu banyak anekdot kehidupan yang boleh membuat kita berfikir. Terlalu banyak kisah kematian yang menyentuh hati dan perlu kita cemburui.
“Kita membaca kisah mereka sambil cuba ‘membaca’ masa depan kita. Sungguh, kita juga mahukan kesudahan hidup yang indah, kita mahukan husnul khatimah.
“Justeru, tekunilah naskah istimewa ini dengan mata hati. Insya-Allah, ia membawakan pelbagai teladan untuk kita ikuti dan telusuri,” jelas Bonda Nor lagi.

Diterbitkan oleh Bonda Nor Sdn Bhd, seramai 29 orang penulis dengan latar belakang berbeza, namun membawa fokus yang sama iaitu mengajak pembaca mempersiapkan diri berdepan kematian dengan sebaiknya.
Setiap kisah yang dikongsi dalam buku tersebut bukan sekadar cerita, tetapi sebuah peringatan bahawa amal yang dilakukan hari ini akan menjadi bekalan di alam barzakh dan akhirat nanti.
Antaranya dengan memperbanyakkan ibadah, menyucikan hati, memperbaiki hubungan dengan Allah dan sesama manusia serta sentiasa bersangka baik terhadap takdir yang telah ditentukan.
Buku ini amat sesuai untuk dibaca oleh semua lapisan masyarakat, khususnya bagi mereka yang ingin memperbaiki diri dan mengukuhkan keimanan.

Bagi penulis, naskhah ON THE WAY Persiapan Menuju Kematian adalah satu karya yang sangat bermakna untuk semua. Ia bukan sekadar buku, tetapi satu peringatan untuk terus berusaha mencapai husnul khatimah sebelum terlambat.
Semoga buku ini menjadi asbab hidayah dan kebaikan buat semua pembacanya serta membantu kita membuat persiapan terbaik menuju kehidupan yang abadi di sisi Allah SWT.
Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa dunia hanyalah persinggahan. Keseronokan dan keindahannya bersifat sementara, sedangkan kehidupan yang sebenar menanti di akhirat sana.

“Selamat membaca dan menghayatinya. Saya doakan tuan puan semua menemui pelbagai kebaikan dalam naskah ini.
“Mudah-mudahan turut menemui jalan-jalan ke syurga yang lebih jelas untuk diterokai,” ujar Bonda Nor menutup bicara.
Untuk mendapatkan buku ini yang berharga RM35 satu naskhah, boleh layari Facebook, TikTok serta platform Shopee Bonda Nor atau hubungi talian 011-2321 5587.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








