IBADAH puasa diwajibkan ke atas setiap Muslim yang sudah mencapai usia baligh dan berkemampuan.
Namun, agama Islam yang penuh dengan kasih sayang memberikan rukhsah atau kelonggaran kepada golongan tertentu termasuk ibu hamil dan yang menyusukan anak.
Daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Merujuk kepada Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan siri ke-31 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menurut pendapat Mazhab Syafie dan Hambali mengatakan, hendaklah qada’ jika bimbang terhadap diri sendiri sahaja.
Juga jika dibimbangi terhadap dirinya dan anaknya, maka hendaklah diqada’ sahaja.
Justeru jika dibimbangi pada anak yang dihamilkan atau yang disusukan sahaja, tanpa dirinya, maka diwajibkan qada’ jika berbuka dan dibayar fidyah.
Pendapat ini juga adalah pendapat jumhur dengan berkata sepertimana kaedah: “Hukum memberi makan kekal kepada hak yang tidak mampu berpuasa.”
Pegawai Dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Ruqayyah Muhd berkata, antara sebab mengapa ibu mengandung yang mempunyai kencing manis tidak boleh berpuasa adalah aras gula dalam darah semasa berpuasa biasanya lebih rendah berbanding wanita yang tidak hamil.

“Ini kerana ibu akan membekalkan gula kepada bayi dalam kandungannya. Semasa berpuasa pada siang hari, paras gula dalam darah boleh menurun dan ibu boleh mengalami hipoglisemia yang membahayakan kesihatan serta dehidrasi.
“Apabila mereka berbuka puasa pada waktu malam, paras gula dalam darah ibu hamil boleh menjadi terlalu tinggi jika makan dengan banyak.
“Pengawalan gula darah yang tidak stabil boleh memudaratkan kesihatan ibu hamil. Maka kebiasaannya, golongan ini tidak digalakkan berpuasa,” kata Ruqayyah kepada Malaysia Tribune.

Bagaimanapun tambah beliau, ada ibu hamil yang boleh berpuasa dengan baik semasa bulan Ramadan.
“Kajian menunjukkan puasa tidak akan menjadikan bayi cenderung untuk dilahirkan awal (pramatang). Berpuasa semasa mengandung juga tidak bermakna bayi lebih cenderung mempunyai berat lahir yang lebih rendah.
“Tetapi ibu berkemungkinan letih dan kurang bertenaga akibat tidak mengambil makanan dan air mengikut keperluan.
“Selain itu, berpuasa semasa trimester kedua kehamilan boleh mengurangkan risiko ibu mendapat diabetes gestasi dan menghalang ibu daripada naik berat dengan banyak.
“Namun, golongan ibu hamil ini perlu sentiasa memerhatikan tanda-tanda semasa berpuasa agar tidak membahayakan kesihatan badan mereka,” jelasnya lagi.

Bagi wanita hamil yang mahu menjalani ibadah puasa seperti biasa, mereka boleh melakukannya tetapi mengikut nasihat doktor dan tip kesihatan yang betul.
“Kekalkan hidrasi tubuh dengan baik semasa waktu malam. Pastikan ambil susu sebelum tidur dan ketika sahur.
“Ibu perlu minum lebih daripada biasa semasa hamil. Perbanyakkan makanan yang tinggi kandungan air seperti buah-buahan iaitu tembikai dan sayuran timun.
“Mereka juga perlu memilih makanan yang berkuah seperti singgang dan sup tetapi elakkan pengambilan garam yang banyak. Makanan yang masin akan menyebabkan ibu kencing lebih banyak.
“Perubahan tabiat makan mungkin menyebabkan ibu hamil mengalami sembelit. Oleh itu, perbanyakkan makanan serat tinggi apabila berbuka seperti bijirin penuh, buah-buahan, sayuran dan kekacang,” ujar Ruqayyah.

Tambah beliau, untuk berpuasa di siang hari, wanita hamil perlu makan makanan dalam jumlah yang kecil tetapi kerap di malam hari.
“Elakkan makanan yang terlalu berempah, pedas atau terlalu berlemak. Kemudian, apabila berbuka puasa, jangan minum air terlalu banyak.
“Pilih makanan yang mengandungi gula semula jadi seperti buah-buahan dan susu kerana ia akan memberi tenaga yang diperlukan,” katanya menutup bicara.
Apa yang pasti, memahami garis panduan syariat mengenai puasa ibu hamil dan menyusukan anak amat penting agar ibadah ini dapat dilaksanakan dengan penuh kefahaman tanpa mengabaikan kesihatan diri dan anak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








