AGAMARENCANA

Anjing Ashabul Kahfi pun dimuliakan Allah, apatah lagi penyangga perjuangan Rasulullah

DALAM surah Al-Kahfi, Allah SWT bukan sahaja merakamkan kisah para pemuda beriman yang mempertahankan akidah, bahkan turut menyebut tentang seekor anjing yang setia menjaga mereka iaitu Qitmir.

Walaupun ia hanyalah binatang yang tidak berakal dan tidak memahami wahyu, kerana khidmatnya kepada para kekasih Allah, kisahnya diabadikan berulang kali dalam al-Quran.

Perjuangan dalam melahirkan anak-anak yang memahami Al-Quran dan hadis Nabi SAW juga mampu membuatkan seseorang itu mendapat kemuliaan Allah SWT kerana menegakkan syiar Islam.

Firman Allah SWT:

“Dan engkau akan menyangka mereka sedang berjaga, padahal mereka tidur; dan Kami membalik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka menjulurkan kedua lengannya di muka pintu gua …” (Surah Al-Kahfi, ayat 18)

Jika seekor anjing pun Allah SWT muliakan kerana kesetiaannya menjaga pejuang agama, apatah lagi manusia yang bersungguh-sungguh menyangga perjuangan Rasulullah SAW.

Itulah perbandingan yang dibangkitkan oleh Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin dalam menyeru umat Islam agar tidak teragak-agak untuk mendokong perjuangan Nabi SAW.

Syeikh Muhammad Fuad 

Menurut beliau, sesiapa sahaja yang melibatkan diri dalam usaha menegakkan agama Allah SWT, sama ada dengan tenaga, harta atau doa akan dimuliakan oleh Tuhan.

“Orang yang ada duit, yang ada kesihatan, inilah yang sepatutnya perlu berjihad. Orang yang tiada kemampuan kewangan atau kesihatan pula, mereka menangis kerana tidak dapat menjadi mujahidin dalam menyangga perjuangan Baginda SAW.

“Namun, sirah Rasulullah SAW menunjukkan para sahabat yang miskin, hina dan tiada pangkat atau jawatan inilah yang sering menjadi golongan terawal menyangga Islam.

“Bagi mereka yang berkemampuan, janganlah hanya menutup mata dan memekakkan telinga, kerana kelak kalian juga akan menyesal,” tegasnya dalam satu majlis ilmu di kampus Kolej Islam As Sofa Hulu Langat baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa binatang yang berkhidmat kepada para kekasih Allah SWT juga akan mendapat kemuliaan di akhirat.

“Ikan paus yang menelan Nabi Yunus AS dan anjing Ashabul Kahfi yang menjaga para pemuda beriman, akan dimasukkan ke dalam syurga sebagai penghormatan terhadap jasa mereka.

“Kalau sebut nama anjing itu pun kita dapat pahala, tidakkah kita mahu nama kita juga disebut oleh Tuhan kerana berkhidmat kepada agama-Nya?” soal beliau.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT akan terus menolong hamba-Nya, selagi mana hamba itu menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa Allah SWT menjanjikan pertolongan dan rahmat-Nya bagi sesiapa yang menolong agama dan umat Nabi SAW.

Sedekah jariah yang dilakukan dengan penuh ikhlas memberi keberkatan hidup buat umat Islam. – Foto hiasan

Syeikh Muhammad Fuad menegaskan, keberkatan hidup akan diperoleh apabila seseorang ikhlas meletakkan dirinya dalam saf perjuangan Nabi SAW, tanpa mengira bentuk sumbangan yang dihulurkan.

Beliau menutup seruannya dengan mengingatkan bahawa setiap peluang menyokong agama adalah pintu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Jika seekor anjing pun dimuliakan kerana berkhidmat kepada pejuang agama, tidakkah lebih utama bagi kita manusia untuk memastikan diri ini turut tercatat sebagai penyangga perjuangan Rasulullah SAW?” katanya penuh makna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button