Institusi agama diperkukuh berteraskan integriti, akauntabiliti – Menteri
PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited memperkukuh tadbir urus institusi agama yang berteraskan integriti, akauntabiliti dan kesejahteraan rakyat selaras dengan titah Sultan Nazrin Shah yang menekankan kepentingan tadbir urus baik serta pembangunan inklusif dalam negara Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, saranan Baginda yang berasaskan prinsip “Everyone Matters” (setiap insan dihargai) bukan sahaja bertepatan dengan aspirasi Islam, malah selari dengan tuntutan Maqasid Syariah dan konsep karamah insaniah.
“Seruan Baginda agar negara Islam memperkukuh tadbir urus dan pembangunan inklusif berasaskan prinsip ‘Everyone Matters’ amat bertepatan dengan aspirasi Islam.
“Prinsip ini sejajar dengan tuntutan Maqasid Syariah dan karamah insaniah yang menuntut keadilan sosial, memelihara kemaslahatan ummah, serta menjamin kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sultan Nazrin pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 kelmarin bertitah bahawa perkhidmatan awam yang dilaksanakan demi kepentingan setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik mencerminkan perpaduan negara yang kukuh dan pemimpin yang memerintah dengan rendah hati, mendengar keluhan rakyat sebelum menggubal undang-undang.
Baginda turut bertitah pembangunan tidak boleh dijalankan secara berasingan kerana walau sebanyak manapun sumber yang dimiliki, sesebuah negara itu tidak boleh mengasingkan diri daripada dunia, kerana perdagangan, pelaburan, pertukaran ilmu pengetahuan dan teknologi bertindak sebagai arus yang membawa kepada kemakmuran.
Menghayati titah Sultan Nazrin berhubung tadbir urus yang baik menjadi prasyarat utama kemakmuran, Zulkifli berkata pihaknya bertekad memastikan pengurusan institusi serta belanjawan awam dilaksanakan atas dasar integriti, itqan (kesempurnaan kerja) dan akauntabiliti.
“Kuasa adalah amanah Allah yang wajib dipertanggungiawabkan dengan sikap rendah hati, mendengari keluhan rakyat, dan mengurus harta awam sebagai dokumen moral demi mengutamakan kesejahteraan ummah,” katanya.
Zulkifli turut menyeru agensi agama dan umat Islam untuk mempraktikkan budaya kerja yang berhemah, memperkukuh perpaduan sosial, serta membuka ruang kerjasama dan perkongsian ilmu yang bermanfaat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








