BERITA SEMASA

Majlis Raja-Raja bincang had tempoh jawatan PM, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya antara perkara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 di Istana Negara.

Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Perkara Pelantikan Hakim Mahkamah Khas, Kertas Untuk Merundingi Majlis Raja-Raja Berkenaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 Mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri, Kertas Untuk Memaklumkan Majlis Raja-Raja Berkenaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya telah pun dibincangkan.

“Selain itu, mesyuarat turut membincangkan pelantikan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi MARA (UiTM), cadangan tarikh mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tahun 2027 serta cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada hari kedua mesyuarat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berangkat hadir dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis turut menerima taklimat mengenai perkembangan keselamatan negara daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; serta ekonomi negara oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurut kenyataan itu, semua Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri turut hadir pada hari pertama mesyuarat, termasuk Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang mewakili Sultan Kelantan, serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim, yang mewakili Pemangku Sultan Johor.

Selain itu, beberapa perkara berkaitan pentadbiran agama Islam dan hal ehwal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut dibincangkan, termasuk kertas sembah maklum mengenai peluasan skop pengauditan Kumpulan Wang Zakat.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 itu telah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur, selama dua hari iaitu pada 14 dan 15 Oktober tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button