Tiada data tepat sokong dakwaan Malaysia tersenarai lima negara tertinggi populasi transgender
KUALA LUMPUR – Penyelidikan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini masih amat terhad, sekali gus menolak dakwaan bahawa Malaysia berada dalam senarai lima negara di Asia dengan populasi transgender tertinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata, dakwaan itu tidak dapat disahkan berikutan ketiadaan data komprehensif yang tepat mengenai komuniti berkenaan di Malaysia.
“Laporan yang mendakwa Malaysia antara lima negara tertinggi di Asia memiliki populasi transgender seperti dilaporkan media digital tidak dapat disahkan kesahihannya,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) yang meminta penjelasan mengenai dakwaan tersebut serta tindakan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Mohd Na’im menegaskan, kerajaan tidak mengiktiraf golongan LGBT kerana Malaysia merupakan sebuah negara Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, selain mengamalkan nilai moral berasaskan adat, budaya dan agama.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) telah mengambil pelbagai inisiatif mendekati golongan homoseksual atau LGBT Muslim sebagai langkah intervensi kerajaan untuk membendung pengaruh kumpulan itu.
“Antara langkah dan tindakan yang sudah diambil oleh JAKIM dalam menangani isu transgender dan kelompok LGBT adalah penubuhan jawatankuasa khas berkenaan isu LGBT dan Pembangunan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019 sehingga 2025.
“Ini termasuk penubuhan Pusat Khidmat Keluarga dan Sosial Komuniti (PKKSK), pelaksanaan program pendidikan dan advokasi serta peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








