BERSAMA gesa Selangor semak semula garis panduan rumah ibadat bukan Islam
PETALING JAYA – Dua pemimpin Parti BERSAMA, Datu Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengkaji semula Garis Panduan Perancangan 2025 bagi Tempat Ibadat Bukan Islam yang mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang sebelum ini membangkitkan kebimbangan berhubung beberapa peruntukan dalam garis panduan berkenaan, khususnya melibatkan rumah ibadat bukan Islam di kawasan komersial.
Menurut mereka, isu tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai perkara pentadbiran semata-mata kerana ia memberi kesan langsung kepada masyarakat yang terlibat.
“Lee nampaknya keseorangan menyuarakan isu yang menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia yang terkesan dengan peraturan baharu itu,” kata mereka.
Rafizi dan Nik Nazmi berkata, walaupun kerajaan negeri memaklumkan garis panduan itu belum dikuatkuasakan, hakikat bahawa ia telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco Selangor pada November tahun lalu dan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) menimbulkan persoalan yang perlu diberi perhatian.
Menurut mereka, sebarang peraturan berkaitan rumah ibadat tidak wajar ditentukan semata-mata berdasarkan pertimbangan pentadbiran atau cadangan jabatan kerajaan tanpa mengambil kira penerimaan masyarakat.
“Sehebat mana pun peraturan yang diluluskan dari perspektif perancangan pentadbiran kini dan masa depan, jika tidak diterima baik oleh orang ramai yang terkesan dengan peraturan itu, ia boleh mengundang masalah serta mencetuskan polemik sensitif pada masa akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, mereka berpandangan PBT perlu diberikan ruang untuk menggunakan budi bicara berdasarkan keperluan dan keadaan setempat ketika mempertimbangkan permohonan rumah ibadat, tanpa terikat sepenuhnya kepada garis panduan peringkat negeri.
Dalam pada itu, kedua-dua bekas menteri berkenaan turut menggesa kerajaan negeri menarik semula garis panduan yang diluluskan pada November 2025 dan membawanya semula ke Mesyuarat Exco untuk pertimbangan baharu.
Mereka mencadangkan satu proses rundingan lebih menyeluruh dilaksanakan melibatkan wakil agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat serta pihak berkepentingan lain sebelum draf baharu dibentangkan semula untuk kelulusan.
Pada masa sama, mereka turut menggesa parti-parti politik lain menyatakan pendirian secara terbuka mengenai isu tersebut memandangkan ia melibatkan kepentingan awam dan keharmonian masyarakat.
Sebelum ini, Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor bagi Kemudahan Komuniti 2025 yang diluluskan pada November 2025 menjadi perhatian umum selepas Lee membangkitkan beberapa klausa kontroversi pada 23 Mei lalu.
Antara isu yang mendapat bantahan ialah sekatan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di zon komersial, had ketinggian struktur keagamaan, syarat yang mengehadkan akses terus ke jalan utama serta nisbah satu rumah ibadat bagi setiap 5,000 penduduk.
Pada Rabu lalu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap garis panduan tersebut dan mengemukakan beberapa cadangan alternatif bagi menambah baik dasar berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








