Debat Rafizi-Nurul Izzah adalah tawaran, bukan paksaan – Saifuddin Nasution
Perdebatan hanya kaedah, terpulang kepada calon untuk terima atau tolak
PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyifatkan perdebatan antara calon bagi pemilihan parti adalah satu bentuk tawaran, bukan paksaan untuk mereka melakukannya.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata sedemikian apabila diminta mengulas mengenai isu cadangan debat antara dua calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

“Perdebatan hanya satu kaedah, namun ia bergantung kepada calon yang bertanding sama ada ingin menyambut atau menolak tawaran tersebut.
“Masa saya dengan Rafizi dulu, Sinar Harian yang aturkan (debat tersebut).
“Sekarang saya tak masuk gelanggang, saya ingat Nurul Izzah pun sudah respons perkara itu. Fokusnya adalah untuk menyatukan dan reach out kepada 29,000 perwakilan.
“Apa yang saya faham, beliau tidak meletakkan keutamaan dan keperluan untuk berdebat,” katanya yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan.
Baca lagi : Pertembungan Nurul Izzah-Rafizi tanda PKR galakkan persaingan sihat – Nik Nazmi
Tambah beliau lagi, Rafizi dan Nurul Izzah adalah tokoh yang amat dikenali dan kedua-duanya merupakan aset kepada parti.
“Kini berbaki sembilan hari lagi sebelum perwakilan mengundi. Mereka adalah watak penting dalam parti dan perwakilan tahu kalau mana-mana terpilih apakah kelebihan yang parti akan dapat dan kedua-duanya adalah pilihan terbaik di kalangan yang baik-baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Jabatan Imigresen (JIM) di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin lagi, kempen yang dilakukan Rafizi dan Nurul Izzah pada pemilihan pusat PKR tidak akan menggugat kedudukan parti itu dalam kalangan ahli-ahlinya.
Ia berikutan semua pimpinan di dalam parti berkenaan akhirnya akan bekerjasama dan bergandingan apabila tibanya waktu pilihan raya.
Baca lagi : Rafizi ingatkan perwakilan pilih pemimpin selesaikan isu rakyat, bukan kejar jawatan
“Sejak ditubuhkan pada tahun 1999 hingga tahun 2025 ini, PKR pasti akan memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam pilihan raya.
“Menang, kalah, keluar parti segala macamlah. Tapi, pada akhirnya kayu ukurnya apa, parti itu masuk pilihan raya rakyat terima atau tidak?
“30 kerusi itu adalah prestasi yang saya rasa terhormat. Itu yang lebih penting. Saya boleh cakap sebab saya lalui semua itu. Saya nampak PKR ini punya keupayaan untuk menyesuaikan diri sejurus selepas itu,” tegasnya.
Pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Mentakab, Pahang sebelum ini, Rafizi memaklumkan beliau sedia berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong masing-masing ketika ini.
Bagaimanapun, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR menolak pelawaan tersebut kerana mahu menumpukan perhatian menyantuni perwakilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








