Pertembungan Nurul Izzah-Rafizi tanda PKR galakkan persaingan sihat – Nik Nazmi
CHUKAI – Pertembungan Nurul Izzah Anwar dengan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi merebut jawatan timbalan presiden dalam Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028 satu tanda parti menggalakkan persaingan sihat.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yakin persaingan itu tidak akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan penyokong dan berharap semua pihak menerima keputusan dengan hati yang terbuka, lapor BH Online.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, apa yang penting setiap ahli termasuk pimpinan parti perlu merapatkan saf dalam usaha mendapat keputusan positif pada pilihan raya akan datang.
“Saya ingat ini demokrasi, kalau demokrasi kita lalui dengan sihat, berkempen dengan sihat dan selepas itu, kita terima keputusan, kita ‘move on’.
“Yang penting, kita tahu apa juga yang kita buat ini, rakyat sedang memerhati dan dia akan ada impak untuk pilihan raya nanti.
“Jadi kita buat yang terbaik untuk kita tunjukkan pada rakyat kerana kita nak pastikan parti dalam keadaan baik dalam kita menuju pilihan raya untuk mendapatkan keputusan yang positif dan untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan proses pencalonan pemilihan menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah dan Rafizi.
Dalam pada itu, Nik Nazmi yakin akan dapat mengekalkan jawatannya sebagai Naib Presiden di dalam parti itu.
“Insya Allah, kalau saya tak yakin, saya tak masuk bertanding, kalau saya rasa nak kalah, saya tak bertandinglah,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








