BERITA SEMASAPOLITIK

Rafizi ucap terima kasih, hargai pasukan belakang tabir inisiatif ekonomi negara

PUTRAJAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini dilihat mempertahankan keputusannya untuk meletak jawatan Menteri Ekonomi di sebalik gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan semula hasrat beliau untuk berbuat demikian.

Melalui satu hantaran di media sosial, Rafizi menzahirkan penghargaan kepada lima pegawai kanan yang menjadi tulang belakang dalam menjayakan pelbagai inisiatif ekonomi sepanjang beliau menerajui kementerian berkenaan melalui sekeping gambar di pejabatnya.

Rafizi berkata, semalam dan hari ini merupakan hari terakhir beliau hadir ke pejabat bagi menyelesaikan urusan akhir termasuk mengemas pejabat.

“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat,” katanya.

Menurut Rafizi, pegawai-pengawainya itu adalah individu yang telah banyak membantunya merangka dan melaksanakan pelbagai dasar ekonomi utama.

Ia termasuklah projek agroindustri seperti cili, kepada semikonduktor, syarikat pemula, Zon Ekonomi Khas Selat Johor (JSSEZ), Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR), gaji progresif, sehinggalah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya.

“Mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan. Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing,” tulis Rafizi.

BACA : Langkah seterusnya saya umum selepas raya haji – Rafizi Ramli 

BACA : Pedih pengkhianatan terubat dengan air mata ahli muda – Rafizi Ramli

Antara nama yang disebut ialah Dr. Azraai Bahari Nasruddin iaitu doktor pakar endokrinologi lulusan University of Cambridge, dengan lulusan tambahan dalam Informatics dari UCL.

Beliau berkhidmat lama di United Kingdom sebelum kembali ke Malaysia tahun 2014.

Turut disebut nama Benjamin Quek – lulusan perbankan dan kewangan dari Monash University dan MSc dalam Applied and Computational Mathematics, John Hopkins University; James Chai (pelajar terbaik undang-undang dari University of London dan sarjana undang-undang dari University of Oxford); Ismat Qayyum (lulusan Politics, Philosophy and Economy dari London School of Economics (LSE) dan Haqimi Zamri (lulusan Politik and Hubungan Antarabangsa dari University of Nottingham).

“Saya banyak belajar daripada mereka, mungkin lebih daripada apa yang mereka pelajari daripada saya,” kata Rafizi.

Ucapan perpisahan beliau itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang turut menzahirkan penghargaan atas khidmat pasukan tersebut dalam memperkukuh dasar ekonomi negara dalam tempoh singkat yang penuh cabaran.

Hantaran tersebut meraih 12,000 reaksi, 1,600 komen dan 835 perkongsian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button