Pemergian Shing Xuen jadi iktibar, Nurul Izzah seru masyarakat lebih prihatin terhadap anak-anak
PETALING JAYA – Tragedi yang menimpa mendiang Yap Shing Xuen, pelajar berusia 16 tahun yang maut akibat ditikam di sekolahnya di Bandar Utama di sini, bukan sekadar meruntun jiwa keluarga tetapi turut membuka mata semua pihak tentang pentingnya keprihatinan terhadap kesejahteraan emosi serta keselamatan anak-anak.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menzahirkan rasa sedih terhadap insiden itu dan menegaskan kejadian tersebut menuntut perubahan drastik serta pendekatan holistik bagi melindungi generasi muda daripada menjadi mangsa seterusnya.
“Kadang-kadang, ada perit yang tidak terucap, ada kosong yang tidak terisi. Tiada kata yang mampu mengungkap derita yang sedang dilalui.
“Kepada Shing Xuen, namamu tidak sepatutnya terpapar di muka depan akhbar dengan cara begini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mendiang Shing Xuen bagi menyampaikan ucapan takziah, mewakili dirinya, Perdana Menteri serta seluruh warga besar PKR.
Menurut Nurul Izzah, sebagai seorang ibu yang juga pernah merasai kehilangan anak, beliau amat memahami kedukaan yang kini ditanggung oleh keluarga mendiang.
“Sebagai seorang ibu yang juga pernah kehilangan anak, saya terasa pedihnya duka ini tiada pengganti.
“Walaupun tiada apa yang dapat mengubati luka kehilangan, saya berdoa semoga kebenaran yang akan dibongkar dapat menjadi sebuah pelukan, sedikit sebanyak mengubati hati yang sedang terluka,” katanya.
Beliau turut berjanji akan memperjuangkan keadilan untuk Shing Xuen dan keluarganya agar tragedi seumpama itu tidak berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








