BERITA SEMASADALAM NEGERI

Rafizi sedia ke mahkamah, enggan tunduk desakan Farhash

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan tidak akan berganjak daripada kenyataan yang dibuatnya sebelum ini, meskipun menerima surat tuntutan untuk menarik balik kenyataan daripada bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador.

Bekas Menteri Ekonomi itu dalam kenyataan berkata, beliau telah menerima surat bertarikh 22 Ogos 2025 daripada firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Farhash berhubung kenyataan beliau yang mengesahkan pemberi maklumat adalah berkaitan urusniaga syarikat yang berkaitan Farhash.

“Saya mengesahkan telah menerima satu surat dari Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Datuk Wira Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 22 Ogos 2025 (yang dilampirkan bersama).

“Surat ‘cease dan desist’ itu membuat tuntutan supaya saya berhenti mengeluarkan kenyataan dan meminta maaf, berhubung satu kenyataan saya yang mengesahkan pemberi maklumat adalah berkaitan urusniaga syarikat yang berkaitan beliau.

“Kenyataan saya itu adalah satu penyataan fakta,” katanya sambil menyatakan kesediaan untuk mempertahankan fakta-fakta tersebut di mahkamah.”

Menurut beliau, tindakan lanjut berhubung perkara itu telah diserahkan kepada peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli daripada Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri.

“Saya berpandangan sekiranya Datuk Wira Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam-peguam saya berpeluang menanyakan soalan-soalan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak selama ini,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi diberikan tempoh 48 jam untuk menarik balik, memadam serta memohon maaf secara terbuka terhadap kenyataannya yang didakwa mengaitkan Farhash dengan insiden serangan terhadap anak beliau serta urus niaga syarikat tertentu.

Tuntutan tersebut dikemukakan menerusi surat rasmi yang dihantar oleh Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co pada 22 Ogos lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button