Siasatan tertumpu pada prosedur, rekod kewangan, bukan penyelewengan – Rafizi
PUTRAJAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan pada hari kedua berhubung siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Rafizi yang tiba ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi berkata, sesi memberi keterangan tertumpu pada isu prosedur dan tidak melibatkan isu rasuah atau penyelewengan kewangan.
“Layanan semua tu tak ada masalah, memang prosesnya begitu, lagipun ia mudah kerana siasatan ini setakat inilah tidak berkaitan dengan apa-apa wang, apa-apa rasuah, ia soal prosedur.
“Jadi yang itu saya ingat orang yang berada di pihak sayalah. Maksudnya perkara itu rekod semua ada…rekod kerajaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Malaysia Tribune melaporkan Rafizi hadir memberi keteranan selama lebih lapan jam semalam berhubung kes yang sama.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Rakaman percakapan Rafizi itu dibuat selepas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.
Mohd Hafaz dipetik sebagai berkata, sebanyak 22 keterangan sudah diambil termasuk dalam kalangan menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan dalam syarikat asing berkenaan selepas meninggalkan perkhidmatan di sebuah kementerian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















