Kerajaan MADANI tanggung beban RM64 bilion akibat ‘lubang bocor’ pentadbiran lalu
MELAKA– Kerajaan MADANI terpaksa menanggung beban kewangan kira-kira RM64 bilion susulan pelbagai liabiliti dan komitmen kewangan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara beban terbesar yang perlu ditanggung termasuk hutang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM43.8 bilion.
Menurutnya, kerajaan turut menanggung liabiliti Lembaga Tabung Haji sebanyak RM10.9 bilion, selain pakej penyelamatan Felda bernilai RM6.23 bilion bagi membantu melindungi kepentingan peneroka.
Beliau berkata, keseluruhan komitmen berkenaan menggambarkan wujudnya ‘lubang bocor’ yang perlu ditampal kerajaan bagi memastikan kewangan negara terus stabil dan kebajikan rakyat tidak terjejas.
“Kerajaan hari ini bukan sahaja perlu membina negara, tetapi dalam masa sama terpaksa menyumbat lubang-lubang yang bocor akibat masalah yang diwarisi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Kongres Nasional PKR di sini hari ini.
Saifuddin berkata, pendekatan kerajaan dalam menguruskan subsidi dan bantuan rakyat perlu beralih kepada sistem berasaskan keperluan (need-based) dan bukan lagi berdasarkan sentimen politik atau kaum.
“Penyasaran subsidi diesel dan pelaksanaan BUDI95 dengan harga petrol RON95 RM1.99 seliter antara langkah memastikan bantuan disalurkan terus kepada golongan yang benar-benar layak.
“Bantuan mesti sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak lagi melalui perantara politik,” katanya lagi.
Beliau berkata, usaha menutup ruang ketirisan, membanteras rasuah dan memastikan harta awam diuruskan secara amanah juga selari dengan prinsip Maqasid Syariah, termasuk konsep Hifz al-mal yang menekankan perlindungan harta.
“Pengurusan kewangan negara yang telus dan berintegriti penting bagi memastikan hasil negara dapat dikembalikan dalam bentuk manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








