BERITA SEMASA

Tunggakan permohonan kewarganegaraan berbaki kurang 4,000 – KDN

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya melepasi sasaran pemprosesan permohonan kewarganegaraan bagi tahun 2025 apabila sebanyak 20,032 keputusan telah dibuat setakat semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu melebihi sasaran awal sebanyak 20,000 permohonan yang ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).

“Daripada hampir 50,000 permohonan tertunggak ketika saya mula memegang jawatan, kini baki permohonan yang belum diputuskan adalah kurang daripada 4,000,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Puspanitasari, di sini hari ini.

Tambah Saifuddin, pihaknya optimis semua permohonan lama yang tertangguh selama lima hingga 15 tahun dapat diselesaikan menjelang suku pertama tahun ini.

“Menjelang suku pertama tahun ini, permohonan lama yang tertangguh akan dibuat keputusan.

“Selepas itu, kita akan membuka lembaran baharu dengan pelaksanaan pindaan Perlembagaan berkaitan kelahiran di luar negara,” katanya.

Menurutnya, proses membuat keputusan terhadap permohonan kewarganegaraan lain tidak terjejas walaupun kerajaan sedang mempersiapkan pelaksanaan pindaan Perlembagaan berkaitan kelahiran di luar negara.

“Sehingga semalam, saya masih membuat keputusan ke atas permohonan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button