BERITA SEMASA

Status pelarian tidak beri kekebalan daripada undang-undang – KDN

PUTRAJAYA – Kementerian dalam Negeri (KDN) menegaskan status pelarian tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang Malaysia.

KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, mana-mana individu berstatus pelarian yang melakukan kesalahan jenayah, mengancam keselamatan awam atau melanggar undang-undang Malaysia tetap tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan, pendakwaan dan proses perundangan yang berkuat kuasa.

“KDN memahami bahawa sebahagian besar kebimbangan rakyat ketika ini tertumpu kepada komuniti Rohingya yang merupakan antara kumpulan pelarian terbesar yang berada di Malaysia.

“Kementerian juga mengambil maklum bahawa terdapat kes-kes tertentu melibatkan individu daripada komuniti pelarian yang telah melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia. Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan agensi-agensi penguatkuasaan lain akan terus mengambil tindakan terhadap mana- mana individu yang terlibat dalam aktiviti sebarang aktiviti jenayah,“ kata KDN dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut, KDN menegaskan, isu pelarian dan kehadiran kumpulan berkenaan termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian bukanlah fenomena baharu di negara ini.

Sebaliknya, ia merupakan isu legasi yang telah berlarutan selama berdekad dan merentasi pelbagai pentadbiran.

“Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab, berstruktur dan berasaskan penyelesaian jangka panjang bagi mengurus isu legasi ini.

“Pendekatan yang diambil bukanlah untuk menggalakkan kemasukan pelarian atau memberikan mereka status baharu, sebaliknya untuk memastikan kerajaan mempunyai keupayaan yang lebih baik dalam mengurus realiti yang telah lama wujud dalam negara,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, KDN turut menegaskan, pemberian akses kepada peluang pekerjaan sah kepada pelarian yang memenuhi syarat tertentu hanya akan dilaksanakan tertakluk kepada dasar dan kawalan ditetapkan oleh kerajaan.

Pendekatan itu katanya, bukan bertujuan menambah jumlah warga asing dalam pasaran pekerjaan negara, sebaliknya mengurangkan kebergantungan kepada kemasukan pekerja asing baharu serta memenuhi keperluan sektor tertentu yang berdepan kekurangan tenaga kerja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button