BERITA SEMASA

PDRM tahan 36 warga Bangladesh terlibat gerakan militan berfahaman ekstremis

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 36 warga Bangladesh kerana dipercayai terlibat dengan gerakan militan radikal yang berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kumpulan itu yang berpaksikan ideologi Islamic State (IS) didapati turut menubuhkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka untuk mengindoktrinasi fahaman radikal.

Kumpulan itu turut didapati mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan berhasrat menjatuhkan kerajaan sah di Bangladesh.

Susulan hasil risikan dan tindakan bersepadu Cawangan Khas, pihak PDRM melancarkan operasi mulai Selasa lalu melalui tiga fasa tangkapan di sekitar Selangor dan Johor.

“Dalam operasi tersebut, lima daripadanya dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, 15 daripada individu tersebut telah diusir manakala baki 16 lagi masih dalam siasatan lanjut berhubung pembabitan mereka dalam gerakan militan itu.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung dan medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.

“Tindakan yang diambil ini membuktikan kerajaan amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen boleh mengancam keselamatan negara.

“Kejayaan itu juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya polis dalam memelihara kedaulatan, keharmonian dan ketenteraman awam,” katanya lagi.

Beliau mengulangi jaminan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil serta bebas ancaman keganasan.

“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button