KDN laksana proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan data lengkap jumlah sebenar kumpulan itu serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di negara ini.
KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan ketika ini tidak mempunyai data menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu di bawah kategori berkenaan.
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, KDN perlu memastikan setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh kerajaan Malaysia sendiri.
“Proses ini melibatkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian. Melalui DPP, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan dan latar belakang individu yang terlibat dikenal pasti dengan lebih tepat,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan itu turut berkata, data berkenaan penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.
Selain itu katanya, ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian, pemegang kad UNHCR diperkemas berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan.
KDN bagaimanapun menegaskan, proses DPP bukan suatu bentuk pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia, sebaliknya instrumen penting bagi memastikan kerajaan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap isu migrasi dan keselamatan negara.
“Prinsip yang dipegang kerajaan adalah jelas. Keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi. Pada masa yang sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kerajaan MADANI percaya bahawa pengurusan migrasi yang berkesan bermula dengan data yang tepat. Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali, dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara,” katanya.
Jelas kementerian itu lagi, pelaksanaan DPP merupakan langkah penting ke arah pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







