BERITA SEMASADALAM NEGERI

KDN isytihar 2025 tahun penguatkuasaan 

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan 2025 sebagai Tahun Penguatkuasaan dan mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mempergiat operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di lokasi tumpuan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi itu akan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

“Kementerian juga tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras keberadaan PATI secara haram di negara ini, sejajar dengan komitmen untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 JIM di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini hari ini.

Seramai 458 penerima APC 2024 Jabatan Imigresen Malaysia diraikan pada majlis hari ini.

Tambah beliau, sehingga 13 Mei lalu, JIM telah melaksanakan 5,001 operasi dan memeriksa seramai 66,590 individu.

“Daripada jumlah itu, seramai 34,287 PATI dan 669 majikan telah ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Beliau turut mengingatkan majikan yang masih menggaji atau melindungi PATI akan dikenakan tindakan undang-undang yang berat.

“Mereka boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap PATI dan dipenjara sehingga 5 tahun serta boleh disebat dengan 6 sebatan jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Sementara menurut Saifuddin, pada majlis tersebut, seramai 1,226 kakitangan JIM menerima APC 2024 sebagai penghargaan di atas perkhidmatan bermutu tinggi dan komitmen berterusan terhadap kecemerlangan organisasi.

“Majlis penyampaian hari ini melibatkan seramai 458 penerima APC daripada Ibu Pejabat JIM, Akademi Imigresen Malaysia, JIM Kuala Lumpur, JIM Selangor, JIM KLIA, JIM Melaka dan JIM Negeri Sembilan.

“Penerima dari negeri-negeri lain pula akan diraikan secara berasingan mengikut zon,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button