KDN gesa pengusaha minyak diugut sindiket buat laporan polis
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa pengusaha minyak yang diugut sindiket penyeludupan diesel bersubsidi supaya membuat laporan polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka tidak perlu takut, sebaliknya perlu tampil memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menyiasat ugutan yang diterima.
Kata Saifuddin, adalah menjadi tanggungjawab pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap apa jua jenayah termasuk perkara bersifat ugutan atau ancaman.
“Jika ada pihak sindiket membuat ancaman atau ada elemen ugutan, pihak pengusaha stesen minyak perlu membuat laporan polis dengan segera.
“Perkara seumpama ini pastinya akan disiasat pihak polis kerana ia perbuatan jenayah dan dalam bidang kuasa PDRM.
“Jika ada laporan polis berhubung jenayah ini, maka tindakan atau siasatan boleh dijalankan oleh pihak polis,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Karnival Pencegahan Jenayah yang dianjurkan PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan rakan strategik serta komuniti setempat di perumahan awam Flat Sri Sabah, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ugutan yang diterima.
Sementara itu, Razarudin memaklumkan pihak PDRM masih belum menerima sebarang laporan berhubung ugutan daripada pengusaha stesen minyak setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






