BERITA SEMASA

KDN haramkan tiga penerbitan ‘yang mungkin memudaratkan kemoralan’

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyenaraikan tiga penerbitan ‘yang mungkin memudaratkan kemoralan’ diharamkan di Malaysia menurut Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu, kata KDN, berkuat kuasa 21 dan 22 Januari lepas dan dibuat berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

“Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” kata KDN dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga penerbitan tersebut adalah:

1) ‘My Shadow Is Purple’ oleh Scott Stuart melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2025 [P.U.(A) 26] berkuat kuasa 21 Januari 2025;

2) ‘Koleksi Puisi Masturbasi’ oleh Amir Hamzah bin Akal Ali (Benz Ali) melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 2) 2025 [P.U.(A) 31] berkuat kuasa 22 Januari 2025; dan

3) ‘All That’s Left In The World’ oleh Erik J. Brown melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2025 [P.U.(A) 32] berkuat kuasa 22 Januari 2025.

Menurut KDN, kesemua tiga tajuk penerbitan tersebut mungkin memudaratkan moral, dan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikannya adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” kata KDN lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 boleh merujuk pada laman sesawang KDN www.moha.gov.my atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button