Pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan anak lahir di luar negara dijangka berkuat kuasa Jun
PUTRAJAYA – Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan khususnya melibatkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dijangka mula berkuat kuasa sekitar Jun atau Julai tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh itu diperlukan bagi melengkapkan beberapa persiapan penting susulan kelulusan pindaan Perlembagaan berkenaan di Parlimen.
Menurutnya, antara persiapan utama termasuk pindaan terhadap Citizenship Regulation 1964 dalam dua versi bahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang kini telah selesai disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Selain itu, kita juga perlu menyediakan dokumen dan borang berkaitan serta memaklumkan semua perwakilan Malaysia di luar negara sebelum proses perkenan dan pewartaan dilakukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Puspanitasari, di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya semua peringkat itu berjalan lancar, pindaan berkenaan akan membolehkan anak yang lahir di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia memperoleh kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.
“Kepada rakan-rakan media yang mengikuti isu ini sejak awal, saya mohon bantuan untuk menyebarkan maklumat ini.
“Kita anggap ini sebagai satu pencapaian Kerajaan MADANI dari sudut nilai ihsan dan keadilan kepada ibu-ibu yang sekian lama berdepan masalah ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








