Pemansuhan AUKU komitmen besar kerajaan terhadap reformasi
AYER KEROH – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 merupakan salah satu komitmen besar kerajaan terhadap reformasi, selain hadiah yang dinanti-nantikan sekian lama buat gerakan mahasiswa yang memperjuangkannya selama ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, keputusan itu turut menjadi pengiktirafan kepada mahasiswa yang sejak sekian lama berani menyuarakan tuntutan supaya akta berkenaan dimansuhkan.
“Pada ketika ini, saya tidak memikirkan siapa yang menang atau siapa yang patut menerima pujian. Saya hanya teringat wajah mereka yang bersama-sama dengan kita.
“Mereka yang takut, tetapi tetap hadir. Mereka yang dihukum, tetapi tetap bersuara. Terima kasih, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya, hari ini.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026, Anwar mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di Malaysia.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat susulan memorandum serta pandangan yang dikemukakan pemimpin mahasiswa yang menggesa perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
Beliau berkata, walaupun pindaan terdahulu terhadap AUKU telah memberikan ruang kepada mahasiswa untuk bergiat aktif, kebebasan itu perlu diperluaskan selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








