BERITA SEMASA

‘Terus terdetik mangsa itu isteri dan anak saya’ – suami

TEMERLOH – “Entah kenapa apabila saya melihat berita kemalangan di Jalan Temerloh-Triang, saya terus terdetik bahawa mangsa itu adalah isteri dan anak saya.”

Demikian luahan Saifulnizam Sulaiman, 39, suami kepada Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan bapa kepada Muhammad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, yang maut dalam kemalangan membabitkan lori tangki di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, petang semalam.

Saifulnizam berkata, ketika kejadian, isterinya bersama anak mereka dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban untuk membantunya menguruskan perniagaan sempena cuti sekolah.

Menurutnya, isterinya yang sudah 14 tahun hidup bersamanya sentiasa memaklumkan lokasi dan keadaan sepanjang perjalanan, menyebabkan dia mula berasa tidak sedap hati apabila mesej dan panggilannya tidak berjawab.

“Saya berada di Seremban atas urusan kerja. Isteri bergerak kira-kira pukul 2 petang dari Jerantut dan biasanya sebelum pukul 6 petang sudah sampai.

“Pukul 5 petang saya hantar mesej, tetapi tiada balasan. Selepas selesai kerja kira-kira pukul 7 malam, mesej masih tidak dibaca dan panggilan juga tidak dijawab,” katanya memetik laporan Metro Online.

lori tangki
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dan terbakar membabitkan sebuah lori tangki dan Perodua Bezza di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang di Temerloh, Pahang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian terbaca mengenai kemalangan di Jalan Temerloh-Triang menerusi media sosial dan terus terdetik kemungkinan mangsa adalah isteri serta anaknya.

“Sepanjang 14 tahun bersama, dia tidak pernah biarkan mesej atau panggilan saya tanpa jawapan. Sebab itu apabila telefon hanya tinggal satu tanda (tick) selama beberapa jam, saya rasa sesuatu yang buruk sudah berlaku.

“Saya hubungi keluarga di Temerloh untuk cuba menghubunginya, tetapi mereka juga tidak berjaya. Saya terus bertolak dari Seremban ke Temerloh,” katanya.

BACA JUGA:
Lori tangki terbalik hempap kereta sebelum terbakar
Dua rentung dalam Perodua Bezza dihempap lori tangki
Petugas forensik kutip serpihan tulang dua beranak dihempap lori tangki

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam, lori tangki membawa kira-kira 32,000 liter diesel dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa. Kedua-dua kenderaan terbakar menyebabkan Nur Fatima Syuhada dan Muhammad Fattah Aisy Naufal maut di lokasi kejadian.

Menurut Saifulnizam, dia tidak sanggup melihat rakaman kejadian yang tersebar di media sosial sepanjang perjalanan dari Seremban ke Temerloh.

“Saya hanya nampak satu rakaman dashcam sebelum kemalangan berlaku. Yang lain saya tidak tengok kerana saya tahu itu isteri dan anak saya.

“Saya sudah melihat sendiri jasad isteri dan anak saya. Saya sempat memeluk dan mencium mereka buat kali terakhir,” katanya dalam nada sebak.

Saifulnizam berkata, buat masa ini, tumpuannya hanya untuk menguruskan pengebumian isteri dan anaknya yang akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Sanggang secepat mungkin.

“Saya tidak mahu memikirkan perkara lain dahulu. Fokus saya sekarang hanya mahu menguruskan isteri dan anak saya dengan sempurna,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button