Disangka rusa, lelaki maut ditembak rakan ketika berburu
MIRI – Niat keluar berburu bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas terkena tembakan rakannya yang tersalah sangka mangsa sebagai rusa dalam kejadian di Long Tabing Atas Jaya, Tinjar, Baram, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Nor Aizan Jamil berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku ketika mangsa bersama tiga lelaki lain termasuk seorang warga emas berusia 63 tahun keluar berburu menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, suspek yang membawa senapang patah mendakwa terlihat kelibat seekor rusa sebelum meminta kenderaan dihentikan dan enjin dimatikan.
“Suspek kemudian turun untuk menjejaki sasaran, manakala mangsa bersama dua lagi rakan kekal di dalam kenderaan sambil menyuluh menggunakan lampu.
“Selepas kira-kira 10 minit berjalan sejauh 80 meter, suspek ternampak satu cahaya kecil yang disangkanya mata rusa lalu melepaskan satu das tembakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Bagaimanapun, tembakan itu sebenarnya mengenai mangsa yang berada di dalam kenderaan.
Tambah beliau, suspek hanya menyedari kejadian selepas melihat isyarat kecemasan sebelum bergegas kembali ke kenderaan.
Mangsa yang masih sedar ketika itu sempat mengadu dahaga sebelum dibawa pulang ke rumah panjang untuk menukar kenderaan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Long Lama bagi mendapatkan rawatan.
Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.52 malam.
Susulan kejadian itu, suspek bersama dua lagi lelaki tampil menyerah diri di Balai Polis Long Lama sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati hanya suspek utama memiliki senjata api, namun lesen senapang patah yang digunakan telah tamat tempoh.
Polis turut merampas senjata berkenaan bersama satu kelongsong peluru, sebutir peluru hidup serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang digunakan ketika kejadian.
Pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan tersebut merupakan kebun kelapa sawit berhampiran hutan tebal dengan keadaan berbukit serta jarak penglihatan yang terhad.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semua suspek berusia antara 42 hingga 63 tahun kini direman selama tujuh hari sehingga 17 April bagi membantu siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







