Pejalan kaki maut dirempuh motosikal di Senawang
SEREMBAN – Seorang pejalan kaki warga Nepal maut selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kemalangan jalan raya di Jalan Persiaran Senawang 1 menghala ke Paroi, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.55 malam, melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan seorang pejalan kaki lelaki berusia 37 tahun.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 21 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Paroi.
“Ketika kejadian, penunggang motosikal tersebut baru melepasi lampu isyarat Matahari yang sedang berwarna hijau dan menunggang di lorong kiri.
“Tiba-tiba, seorang pejalan kaki melintas secara mengejut dari kiri ke kanan jalan menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, pejalan kaki berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya lagi.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-846 1792 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








