Suspek pecah rumah maut selepas bergelut dengan penjaga kediaman
IPOH – Seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Building Society, Taman Star, di sini maut selepas dipercayai bergelut dengan penjaga rumah yang menjadi sasaran, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, suspek berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah berkenaan dengan mengumpil tingkap sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga kediaman.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 5 pagi apabila dua suspek memasuki rumah tersebut melalui tingkap yang diumpil sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga rumah.
“Seorang suspek dipercayai berjaya melarikan diri manakala seorang lagi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian suspek adalah disebabkan masalah saluran jantung tersumbat.
Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, manakala siasatan berhubung kejadian pecah rumah dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















