JENAYAH & MAHKAMAH

Kes kematian tiga beranak: Jenazah anak lelaki dituntut keluarga, suami isteri masih di HSB

SUNGAI PETANI – Proses bedah siasat terhadap jenazah tiga beranak yang maut di sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok di sini telah selesai dilaksanakan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asistan Komisioner Hanyan Ramlan berkata, prosedur itu dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Menurut beliau, setakat ini hanya jenazah anak lelaki mereka sudah dituntut keluarga, manakala jenazah pasangan suami isteri warga emas itu masih berada di hospital.

“Kita hanya menunggu proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) serta cap jari bagi menentukan identiti dua individu terbabit sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

“Bagaimanapun, bedah siasat ke atas mayat anak pasangan itu yang ditemui di tingkat atas rumah terbabit telah selesai dan diserahkan kepada keluarga, semalam,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tambah beliau, pihak polis sudah mengambil keterangan 11 saksi bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

BACA JUGA:

Tiga beranak ditemukan maut dalam rumah di Merbok

Kes penemuan mayat tiga beranak: Kepala suami isteri terputus dari badan

Semalam, media melaporkan tiga beranak ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah yang didiami mereka.

Pasangan suami isteri yang berusia 65 dan 53 tahun itu ditemukan dalam keadaan kepala dan badan terpisah, manakala anak lelaki mereka berusia 29 tahun ditemui di tingkat atas rumah dengan kesan kelar pada leher.

Menurut laporan awal, mayat pasangan suami isteri ditemui di dapur rumah dua tingkat tersebut, diletakkan di atas permaidani yang ditutup dengan kain, manakala anak lelaki mereka ditemui di bilik tingkat atas.

Hanyan turut memaklumkan bahawa anak lelaki tersebut dipercayai pernah mengalami gangguan mental pada 2018 hingga 2019, namun tidak pernah menimbulkan masalah kepada masyarakat setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button