Kes penemuan mayat tiga beranak: Kepala suami isteri terputus dari badan
SUNGAI PETANI – Mayat sepasang suami isteri warga emas yang meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok, di sini tengah malam tadi ditemukan dalam keadaan kepalanya terputus dari badan.
Mangsa dikenali sebagai Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya, Suraya Man, 53, manakala anak lelaki wanita terbabit bernama Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asistan Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mayat pasangan suami isteri itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dan dibungkus di dalam permaidani dan kain di dapur rumah.
Beliau berkata, mayat anak lelaki mereka berusia 29 tahun pula ditemukan di dalam bilik bahagian atas rumah dua tingkat itu dengan kesan kelar di leher.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.30 malam tadi yang memaklumkan bahawa pasangan suami isteri yang menghuni rumah terbabit sudah tiga hari tidak kelihatan selain terhidu bau busuk sekitar kawasan rumah.
“Siasatan di lokasi mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan gelap, ada bau busuk yang kuat dan pintu berkunci dari dalam,” katanya pada sidang media Balai Polis Merbok, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya terpaksa memecah masuk rumah sebelum menemukan dua mayat iaitu pasangan suami isteri yang berbungkus dan ditutupi dengan permaidani serta pakaian, di kawasan dapur rumah itu.
“Terdapat percikan darah pada kawasan ruang tamu malah ada tanda percubaan untuk melupuskan mayat kerana terdapat kesan di ruang tamu yang sudah dibersihkan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Hanyan berkata, berdasarkan keadaan mayat pasangan suami isteri itu yang sudah membengkak dan berbau, kedua-dua mangsa dipercayai telah mati lebih 48 jam lalu.
Pihaknya juga percaya, pembunuhan berlaku di kawasan lain dan mayat dikumpulkan di rumah tersebut.
BACA JUGA:
Tiga beranak ditemukan maut di dalam rumah di Merbok
“Selain itu, pada mayat pasangan suami isteri itu terpisah kepala dan badan kedua-duanya dalam keadaan mulai reput manakala satu lagi mayat dalan keadaan masih baru.
“Selain itu ada mayat yang dipotong dalam proses untuk dilupuskan termasuk kedua-dua kepala terputus manakala badan lain ada kesan pemotongan.
“Polis turut menemui beberapa senjata tajam dikumpulkan dalam bekas yang dikumpulkan berdekatan mayat ketiga, ” katanya.
Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kes menjurus kepada perbuatan bunuh dan suspek juga dipercayai sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 8 malam, Isnin lalu sehingga penemuan mayat tengah malam tadi.
“Maklumat yang diperoleh menyatakan bahawa lelaki berusia 29 tahun itu pernah mengalami gangguan mental pada tahun 2018 ke 2019, namun tidak pernah mengganggu masyarakat sekeliling.
“Seorang lagi anak mangsa wanita yang berkerja sebagai tentera, baru sahaja kembali ke rumahnya di Johor, Isnin lalu, selepas pulang beraya di situ,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata setakat ini lima orang saksi telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, mayat tiga beranak ditemukan dalam rumah mereka di Kampung Belau, Merbok di sini, tengah malam tadi.
Difahamkan, mayat pasangan suami isteri berusia 65 tahun dan 53 tahun itu dan anak lelaki mereka berusia 29 tahun ditemukan anggota polis dan penduduk kampung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








