Tiga beranak ditemukan maut di dalam rumah di Merbok
SUNGAI PETANI – Tiga beranak ditemukan maut dalam keadaan mencurigakan di kediaman mereka di Kampung Belau, Merbok, di sini tengah malam tadi, selepas dipercayai gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri berusia 65 dan 53 tahun serta anak lelaki mereka berusia 29 tahun.
Difahamkan, mayat pasangan suami isteri itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dibungkus di dalam karpet di bahagian dapur rumah, manakala mayat anak lelaki mereka pula ditemukan di sebuah bilik di tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan dengan kesan kelar pada leher.
Keadaan mayat kedua-dua warga emas yang telah membengkak dan berbau menunjukkan mereka dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan, memetik laporan Kosmo! Online.
Ketiga-tiga mayat ditemukan oleh anggota polis bersama penduduk kampung yang melancarkan usaha mencari selepas mangsa gagal dihubungi sejak Isnin lalu.
Menurut maklumat awal, lelaki berusia 65 tahun itu bekerja kampung manakala isterinya merupakan tukang cuci di sebuah sekolah di bandar Sungai Petani.
Pasangan tersebut dilaporkan baru beberapa tahun berkahwin dan masing-masing mempunyai seorang anak lelaki.
Mereka tinggal bersama anak kandung kepada wanita berkenaan yang juga bekas pelajar sebuah universiti di Pulau Pinang, namun tidak menamatkan pengajian akibat masalah kemurungan.
Kesemua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut.
Katanya, satu sidang media akan diadakan di Balai Polis Merbok pada pukul 12 tengah hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








