BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tiga maut, termasuk kanak-kanak perempuan dalam nahas di Jalan Muadzam Shah-Bahau

ROMPIN – Tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Muadzam Shah-Bahau, berhampiran Bukit Serok, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.46 petang itu, sebuah kereta yang dinaiki enam sekeluarga bertembung dengan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Kemalangan mengakibatkan seorang wanita tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Enam lagi mangsa, termasuk pemandu pacuan empat roda, dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan.

“Namun, seorang wanita berusia 18 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan kejadian dan memaklumkan identiti semua mangsa yang maut masih dalam siasatan.

Menurutnya, mayat ketiga-tiga mangsa kini ditempatkan di Hospital Muadzam Shah sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button