Kenderaan terjunam dalam sungai, mangsa larikan diri
HULU LANGAT – Tindakan dua individu yang melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Jalan Kuari Sungai Long, Kampung Sungai Seri, di sini, pagi tadi, mencetuskan tanda tanya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, operasi menyelamat yang dilakukan pihaknya selepas menerima panggilan kecemasan mendapati dua individu yang terlibat telah ‘hilang’ dari lokasi kejadian.
Ahmad Mukhlis memaklumkan bahawa jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn tiba di lokasi dan mendapati keadaan terkawal pada jam 10.33 pagi.
“Komander operasi melaporkan sebuah Perodua Alza dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti terjunam ke dalam sungai sedalam 1.5 meter.
“Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.29 pagi, bagaimanapun dua mangsa dipercayai sudah melarikan diri daripada lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pasukan bomba tidak dapat mengenal pasti punca sebenar mengapa mangsa bertindak melarikan diri.
Sehubungan itu katanya, pasukan penyelamat telah melakukan pemantauan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada sebarang risiko lain yang boleh membahayakan orang awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








