LUAR NEGARA

Empat termasuk dua kanak-kanak maut nahas kereta api dengan van

BUGGENHOUT, Belgium – Empat termasuk dua kanak-kanak maut dalam insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta api dengan van mini sekolah di utara Belgium, hari ini.

Kemalangan di lintasan kereta api di Buggenhout, sebuah kawasan perbandaran berbahasa Belanda kira-kira 25 kilometer di barat laut Brussels itu turut mencederakan lima lagi murid sekolah, lapor AFP.

“Pelanggaran tragis antara kereta api dan bas sekolah berlaku di Buggenhout pagi ini. Empat individu terbunuh termasuk dua kanak-kanak,” kata Timbalan Perdana Menteri Belgium, Maxime Prevot dalam satu hantaran di X.

Imej dari lokasi kejadian di wilayah Flanders itu menunjukkan sebuah van mini yang rosak teruk dalam keadaan terbalik di tepi jalan berhampiran landasan kereta api, manakala khemah didirikan petugas kecemasan di kawasan itu.

Kereta api komuter terbabit masih kelihatan terhenti di landasan ketika pasukan forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Perdana Menteri Belgium, Bart De Wever, turut memuat naik kenyataan di media sosial bahawa beliau “amat tersentuh dengan kemalangan ngeri itu… fikiran saya bersama keluarga mangsa yang terjejas.”

Punca nahas masih belum dapat dipastikan dan siasatan telah dibuka, menurut pejabat pendakwa raya.

Agensi kereta api Belgium, Infrabel memaklumkan, rakaman kamera litar tetrtutup (CCTV) di lokasi menunjukkan palang lintasan telah ditutup dan lampu merah menyala ketika kejadian berlaku.

“Impak pelanggaran amat kuat,” kata jurucakap Infrabel, Frederic Sacre kepada AFP sambil menambah kereta api itu bergerak pada kelajuan 120 kilometer sejam.

“Van mini itu tercampak kira-kira 15 meter ke arah tiang besi,” katanya.

Ketika kejadian, van tersebut membawa tujuh murid dari sebuah sekolah untuk kanak-kanak berkeperluan pembelajaran khas, menurut pihak berkuasa dalam satu sidang media.

Dua daripada mereka berusia 15 dan 12 tahun maut di lokasi bersama pemandu berusia 49 tahun dan seorang penyelia berusia 27 tahun, kata jurucakap pejabat pendakwa raya, Lisa De Wilde.

Lima lagi kanak-kanak yang berada dalam van itu dibawa ke hospital tempatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kecederaan serius.

Tiada penumpang kereta api dilaporkan cedera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button