Imigresen serah siasatan kemalangan maut kepada polis
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan lori jabatan itu yang mengorbankan tiga sekeluarga di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
Menurutnya, Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan menyerahkan segala urusan siasatan kepada polis.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berdasarkan undang-undang,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, tiga sekeluarga yang sedang berjalan kaki maut selepas dirempuh lori Isuzu milik Jabatan Imigresen yang terbabas selepas terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kenderaan lain.
Mangsa terdiri daripada lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya berusia 25 serta 12 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri lelaki berkenaan, 55, turut cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








