Penyelidik maut, hampir 200 individu dikuarantin di Siberia
MOSCOW – Kematian seorang penyelidik di sebuah institut penyelidikan anti-wabak di Siberia mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kebocoran patogen berbahaya, susulan tindakan kuarantin dan pemantauan kesihatan terhadap hampir 200 individu.
Mangsa, Daria Shipilova, 28, yang bekerja sebagai juruteknik makmal di Institut Penyelidikan Anti-Wabak Irkutsk di Shelekhov, dekat Irkutsk, meninggal dunia pada 2 Oktober selepas mengalami radang paru-paru yang teruk.
Laporan media antarabangsa sebelum ini mendakwa Shipilova mungkin terdedah kepada bakteria penyebab wabak paru-paru selepas secara tidak sengaja memecahkan tiub uji ketika menjalankan kerja makmal pada 25 September.
Menurut laporan berkenaan, beliau kemudiannya mengalami masalah kesihatan dan dimasukkan ke Hospital Daerah Shelekhov sebelum keadaannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai kemalangan makmal itu masih belum disahkan secara rasmi.
Moscow Times melaporkan, kebimbangan mengenai kemungkinan wabak menyebabkan kira-kira 200 individu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan mangsa diletakkan di bawah pemantauan perubatan ketat.
Beberapa kemudahan kesihatan di kawasan Irkutsk turut mengambil langkah pencegahan termasuk kuarantin di beberapa hospital, manakala sebuah kilang aluminium di Shelekhov memperkenalkan pemakaian pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.
Spekulasi mengenai wabak pneumonic plague atau wabak paru-paru tercetus selepas beberapa laporan media tempatan mendakwa Shipilova mungkin terdedah kepada Yersinia pestis, bakteria yang menyebabkan penyakit wabak.
Wabak paru-paru merupakan bentuk wabak yang menyerang sistem pernafasan dan boleh merebak melalui titisan pernafasan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan gejala wabak lazimnya muncul dalam tempoh satu hingga tujuh hari selepas jangkitan dan penyakit itu boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan Rusia menolak laporan yang mengaitkan kematian itu dengan insiden patogen di makmal.
Agensi pengawas kesihatan Rusia, Rospotrebnadzor berkata, pemeriksaan mendapati mangsa didiagnosis dengan radang paru-paru yang tidak diketahui puncanya, manakala ujian lanjut terhadap sampel biologi tidak mengesan mikroorganisma yang mempunyai kaitan dengan tugas profesionalnya.
Agensi itu turut menegaskan tiada kemalangan melibatkan mikroorganisma patogen direkodkan di institut berkenaan.
Rospotrebnadzor berkata, keadaan kesihatan awam di wilayah Irkutsk, termasuk bandar Irkutsk dan Shelekhov, kekal stabil serta langkah pencegahan telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tindak balas kesihatan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







