Blok pembangkang dahului gabungan Netanyahu dalam tinjauan pilihan raya Israel
BAITULMAQDIS – Blok parti pembangkang Israel mencatat kelebihan tipis berbanding gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam tinjauan pendapat terbaru menjelang pilihan raya umum pada 27 Oktober ini.
Tinjauan yang disiarkan penyiar awam Israel, KAN mengunjurkan parti pembangkang memperoleh 52 kerusi berbanding 51 kerusi bagi gabungan Netanyahu dalam Knesset yang mempunyai 120 kerusi.
“Kedua-dua blok bagaimanapun masih tidak mencapai 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti.
“Parti Yashar pimpinan Gadi Eisenkot muncul sebagai parti dengan unjuran kerusi tertinggi iaitu 23, manakala Likud yang diketuai Netanyahu memperoleh 21 kerusi.
“Beyahad pimpinan Naftali Bennett pula diunjurkan memenangi 12 kerusi, diikuti Demokrat pimpinan Yair Golan dan Jewish Power pimpinan Itamar Ben-Gvir masing-masing lapan kerusi.
“Gabungan Religious Zionism-Zehut pimpinan Bezalel Smotrich memperoleh enam kerusi, manakala parti Amcha Yisrael pimpinan Ofer Winter gagal melepasi ambang pilihan raya,” menurut KAN.
Dalam kalangan parti Arab, Joint List diunjurkan memperoleh lapan kerusi selepas pemimpin Balad, Sami Abu Shehadeh, menarik diri daripada persaingan, manakala Ra’am mengekalkan lima kerusi.
KAN berkata blok perubahan pembangkang masih memerlukan sokongan Ra’am untuk mencapai majoriti.
Tinjauan itu dikeluarkan ketika Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel turut mengambil tindakan terhadap Netanyahu berhubung penggunaan anggota tentera dalam bahan kempen pilihan raya.
Pengerusinya, Hakim Noam Sohlberg, mengarahkan beberapa video kempen Netanyahu di media sosial diturunkan selepas mendapati bahan berkenaan menggunakan anggota tentera dan sumber awam tanpa kebenaran.
Netanyahu turut diarahkan membayar (kira-kira AS$9,000) bagi kos guaman.
Netanyahu, yang mengetuai kerajaan semasa sejak Disember 2022, turut berdepan prosiding berkaitan pertuduhan rasuah di Israel serta waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan dakwaan jenayah perang di Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








