PKR kecam serangan Israel ke atas Qatar, desak tindakan tegas PBB
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang melancarkan serangan ke atas bandar Doha, Qatar semalam.
Ketua Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Maszlee Malek berkata, tindakan itu bukan sahaja merupakan pencerobohan ketenteraan terhadap sebuah negara berdaulat, malah ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Artikel 2(4) Piagam PBB menyatakan bahawa semua negara hendaklah menahan diri daripada sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara.
“Serangan Israel terhadap Qatar adalah pelanggaran prinsip asas kedaulatan negara yang dijamin oleh Konvensyen Montevideo 1933 serta prinsip non-intervention dalam hubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Maszlee turut menyeru agar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera mengadakan sidang tergempar bagi mengutuk keras tindakan Israel serta menyusun langkah diplomatik, politik dan ekonomi sebagai tindak balas terhadap keangkuhan rejim Zionis tersebut.
Beliau menegaskan, negara-negara dunia, khususnya di rantau Islam, Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin, perlu memperluaskan boikot menyeluruh terhadap Israel dalam pelbagai bentuk termasuk politik, ekonomi, perdagangan, sukan dan kebudayaan.
“PKR juga mendesak agar Perhimpunan Agung PBB mengambil langkah tegas dengan menggantung dan seterusnya menamatkan keahlian Israel dalam PBB, sebagaimana tindakan yang pernah dikenakan terhadap rejim apartheid Afrika Selatan dahulu,” jelasnya lagi.
Menurutnya, serangan Israel ke atas Qatar sekali lagi membuktikan bahawa rejim Zionis itu adalah ancaman serius kepada keamanan antarabangsa.
“Malaysia bersama masyarakat dunia mesti berdiri teguh menentang kezaliman ini dan memperjuangkan hak rakyat Palestin serta mempertahankan undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








