BERITA SEMASA

MAPIM gesa tindakan tegas, bukan sekadar kecaman terhadap Israel

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan kecaman oleh 21 negara terhadap rancangan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat tidak memadai, sebaliknya dunia perlu mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kezaliman rejim Zionis.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kecaman semata-mata tanpa sebarang tindakan konkrit tidak memberi makna kepada rakyat Palestin yang terus ditindas dan dizalimi setiap hari.

“Israel bukan sekadar merancang, tetapi sudah lebih 78 tahun menjajah, merampas tanah, merobohkan rumah, membunuh serta mengusir rakyat Palestin secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Mereka (Israel) mesti dikenakan sekatan penuh merangkumi ekonomi, diplomatik, ketenteraan dan politik sehingga rejim apartheid itu lumpuh sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

United Kingdom dan Perancis adalah antara 21 negara yang menandatangani kenyataan bersama yang menggelar kelulusan Israel terhadap projek penempatan besar di Tebing Barat sebagai tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 25 Ogos ini di Jeddah, Arab Saudi.

Menurut Wisma Putra, mesyuarat berkenaan akan membincangkan situasi terkini serangan berterusan Israel terhadap Palestin, khususnya cadangan rejim Zionis untuk mengambil alih sepenuhnya wilayah Semenanjung Gaza secara paksa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button