BERITA SEMASA

MAPIM seru umat Islam tolak perpecahan Sunni-Syiah

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru umat Islam supaya menolak perpecahan antara Sunni dan Syiah serta mengutamakan perpaduan ummah dalam menghadapi perkembangan geopolitik semasa.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, umat Islam perlu kembali kepada panduan al-Quran dan sunnah serta tidak terjerumus dalam konflik dalaman yang boleh melemahkan kekuatan ummah.

Menurut beliau, sejarah Islam menunjukkan perbezaan pandangan antara mazhab telah lama wujud, namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyokong serangan terhadap negara Islam.

“Konflik Sunni dan Syiah bukan perkara baharu dalam sejarah Islam. Namun menjadikan perbezaan itu sebagai alasan untuk menyokong serangan terhadap sebuah negara Islam adalah sesuatu yang sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan perkembangan semasa yang menyaksikan ketegangan geopolitik di Asia Barat termasuk serangan terhadap Iran yang didakwa melibatkan sokongan Amerika Syarikat dan rejim Israel.

Mohd Azmi berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah timbulnya provokasi dalam kalangan sebahagian masyarakat yang cuba membangkitkan permusuhan antara Sunni dan Syiah ketika umat Islam berdepan ancaman luar.

Menurutnya, naratif perpecahan sering dimanipulasi oleh pihak tertentu sebagai strategi “pecah dan perintah” bagi melemahkan kesatuan umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya menumpukan perhatian kepada ancaman sebenar yang sedang berlaku termasuk penjajahan, pencerobohan dan keganasan terhadap negara-negara Islam.

“Dalam realiti geopolitik hari ini, Iran merupakan antara negara yang secara konsisten menentang dominasi Zionis dan hegemoni kuasa besar yang menindas rakyat Palestin serta negara lain di rantau tersebut,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan umat Islam kepada firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang menyeru umat Islam supaya berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak berpecah-belah.

MAPIM turut menyeru rakyat Malaysia serta kerajaan supaya menilai perkembangan antarabangsa secara kritis dan berprinsip tanpa mudah terpengaruh dengan naratif propaganda kuasa besar.

Kenyataan itu turut disokong Pengerusi SHURA, Abdul Ghani Samasudin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button