LUAR NEGARA

Trump tak peduli penyertaan Iran di Piala Dunia 2026

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan beliau ‘tidak peduli’ sama ada Iran akan mengambil bahagian dalam Piala Dunia 2026, di tengah-tengah konflik ketenteraan yang semakin memuncak antara Washington, Israel dan Tehran.

Iran sebelum ini sudah layak ke kejohanan anjuran bersama AS, Kanada dan Mexico itu dan dijadualkan beraksi di Los Angeles serta Seattle.

Namun, penyertaannya kini menjadi tanda tanya susulan serangan ketenteraan AS dan Israel yang dilaporkan mengorbankan beberapa pemimpin kanan Iran serta mencetuskan ketegangan lebih luas di Asia Barat.

Donald Trump
Donald Trump.

Dalam temu bual bersama Politico kelmarin, Trump ditanya mengenai kemungkinan Iran tidak menghantar pasukan ke kejohanan tersebut atau sekatan yang mungkin dikenakan oleh kerajaan AS.

“Saya benar-benar tidak peduli (jika Iran mengambil bahagian). Saya fikir Iran adalah sebuah negara yang tewas teruk. Mereka sedang bertahan dengan sisa tenaga,” katanya seperti dilaporkan.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan mesej yang selama ini dibawa oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA yang berusaha meyakinkan komuniti antarabangsa bahawa semua pasukan dan penyokong akan dialu-alukan ke Piala Dunia 2026.

Sebelum ini, pentadbiran Trump turut mengulangi pendirian bahawa kejohanan itu terbuka kepada semua negara yang layak.

Namun, kenyataan terbaharunya iaitu yang pertama sejak serangan Sabtu lalu memberi isyarat berbeza mengenai kedudukan Iran.

Jurucakap Rumah Putih, ketika diminta mengulas lanjut kenyataan tersebut, merujuk semula kepada komen Presiden itu tanpa penjelasan tambahan.

Sementara itu, jurucakap pasukan petugas Piala Dunia Rumah Putih merujuk kepada kenyataan pengarahnya, Andrew Giuliani yang menyokong tindakan ketenteraan AS.

“Langkah ini menghapuskan ancaman besar yang menggugat kestabilan dan membantu melindungi rakyat di seluruh dunia, termasuk rakyat Amerika dan jutaan pengunjung yang merancang menghadiri Piala Dunia 2026 di AS,” katanya.

Setakat ini, wakil Persekutuan Bola Sepak Iran belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen, manakala jurucakap FIFA enggan mengulas lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button