LUAR NEGARA

Trump sokong Blair terajui pentadbiran sementara Gaza

NEW YORK – Pelan damai di Gaza tajaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang diusulkan kepada pemimpin dunia Arab dan Muslim baru-baru ini, difahamkan menamakan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair sebagai ketua pentadbir sementara wilayah itu.

Laporan Washington Post menyebut, pelan damai yang dirangka secara bersama oleh Blair dan menantu Trump, Jared Kushner itu menyerupai badan pentadbiran antarabangsa yang pernah mengawasi peralihan negara Timor-Leste dan Kosovo.

Di bawah pelan berkenaan, Gaza International Transitional Authority (GITA) diberi mandat sebagai ‘kuasa politik dan perundangan tertinggi’ di Gaza untuk tempoh sehingga lima tahun.

Pada peringkat awal, GITA dicadang beroperasi dari bandar el-Arish di Mesir, berhampiran sempadan Gaza, sebelum memasuki wilayah itu dengan diiringi pasukan multinasional majoritinya negara Arab yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pelan itu turut merangkumi hasrat ‘penyatuan semua wilayah Palestin di bawah Pentadbiran Palestin (PA)’ pada masa depan.

Menurut sumber, pelan tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya esok.

Berbeza dengan cadangan Amerika Syarikat yang pernah dikritik sebagai usaha menukar Gaza menjadi ‘Riviera Gaza’ dengan mengusir penduduknya, rancangan itu menegaskan rakyat Palestin tidak akan dipaksa meninggalkan tanah mereka.

Jika dilaksanakan, Blair akan mengetuai sekretariat seramai 25 orang serta mempengerusikan lembaga tujuh anggota yang mengawal badan eksekutif pentadbiran Gaza.

Namun, penglibatan beliau dijangka mencetuskan kontroversi hebat.

Walaupun Blair masih dihormati oleh sebahagian besar pemimpin Teluk, ramai rakyat Palestin dan masyarakat Arab tidak melupakan peranannya menyokong pencerobohan Iraq oleh Amerika Syarikat pada 2003 serta dianggap menghalang usaha Palestin mencapai negara berdaulat.

Sementara itu, bekas ketua agensi perisikan dan operasi khas Israel (MOSSAD), Yossi Cohen secara tegas menyokong Blair untuk mentadbir Gaza selepas perang.

Cohen, yang juga bekas penasihat keselamatan negara kepada Benjamin Netanyahu menyifatkan langkah itu sebagai ‘tindakan yang menakjubkan’ selepas bekas Perdana Menteri itu membentangkan pelan untuk beliau mengawasi pentadbiran Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button