Khalid Samad desak pemimpin BN tidak sehaluan Anwar letak jawatan menteri
KUALA LUMPUR – Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak lagi boleh menerima kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digesa menunjukkan pendirian dengan meninggalkan Jemaah Menteri tanpa perlu menunggu sehingga dipecat.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad berkata, tindakan pemimpin yang terus mengkritik dan memburukkan kerajaan secara terbuka, tetapi pada masa sama mahu mengekalkan kedudukan dalam pentadbiran, adalah tidak wajar.
Beliau menegaskan, pemimpin yang sudah tidak sehaluan dengan kerajaan perlu berani membuat keputusan berdasarkan prinsip dan pendirian masing-masing.
“Kalau rasa sudah kuat dan tidak boleh menerima Anwar sebagai Perdana Menteri, tunjukkan harga diri.
“Jika asyik mengkritik dan memburukkan kerajaan, sila keluar. Tiada siapa yang menghalang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan ketika mengulas kritikan beberapa pemimpin BN terhadap kepimpinan Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan akan berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN perlu mengorbankan identiti atau pendirian politik parti itu sendiri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














